Halaman

Elegant Rose - Double Heart


Khamis, 4 Julai 2013

EKSPRESI KREATIVITI KANAK-KANAK 2

1.0 Pengenalan Menurut kajian, proses perkembangan kanak-kanak adalah mengikut peringkat –peringkat tertentu. Setiap peringkat perkembangan diwakili dengan ciri-ciri dominan yang dipaparkan secara berulang dan berterusan. Berdasarkan perkembangan ini didapati peringkat-peringkat ini mempunyai kaitan dengan kematangan dan umur kanak-kanak tersebut.Gerak geri dan pergerakan kanak-kanak mencerminkan pergerakan estetika mereka. Kanak dilahirkan dengan sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah semula jadi proses tumbesaran mereka . Lukisan yang dihasilkan oleh kanak-kanak ini boleh berfungsi sebagai alat komunikasi dan merupakan refleksi pemikiran mereka. Refleksi ini akan terus berkembang bersama-sama kanak-kanak sehingga ia membesar (Koster, 2001). Selain menjadi medium komunikasi lukisan juga dijadikan alat membantu saintis untuk menganalisa fikiran dan perasaan kanak-kanak. Melalui lukisan yang dihasilkan seperti pokok, figura manusia, catan dan arca yang boleh memberi tafsiran yang dapat ahli psikologi mengenalpasti kanak-kanak yang mempunyai masalah trauma. Melalui lukisan juga kita dapat mencapai kepuasan diri.Menurut Lowenfeld, 1975 orang dewasa, menganggap seni visual sering dikaitkan dengan kecantikan dan kesempurnaan, namun bagi kanak-kanak hasil karya yang dihasilkan bersifat luahan dan ekspresi. Karya seni yang dihasilkan oleh kanak-kanak selalunya bersifat peribadi dan tersendiri. Melalui karya seni kanak-kanak ini, kita dapat melihat cara kanak-kanak ini berfikir dan menyelami perasaan selain melihat dan menguji keupayaan perkembangan kognitif mereka. Aktiviti melukis merupakan suatu bentuk aktiviti yang banyak digunakan oleh saintis, guru dan ibu bapa untuk menyelami perasaan dan fikiran kanak-kanak. Melalui aktiviti ini juga kanak-kanak dapat mengenali objek selain membantu kanak -kanak ini meningkatkan daya sensitiviti terhadap alam sekeliling mereka. Selain itu, aktiviti ini juga dapat meningkatkan daya imaginatif mereka selain dapat mengimbangi emosi mereka. 1.1 Perkembangan Artistik Kanak-kanak Untuk mengetahui perkembangan estetika kanak-kanak , semua itu boleh dilihat berdasarkan aktiviti kreatif yang kanak-kanak ini lakukan antaranya ialah melukis dan mewarna, kraftangan , muzik, pantun, puisi, pergerakan kreatif dan melalui drama kanak-kanak. Melalui komunikasi bukan lisan, kanak-kanak akan menggunakan pergerakan tangan , mimik muka, pandangan mata dan pergerakan badan yang lain. Kebolehan kanak-kanak dalam meluahkan nilai estetika mereka merupakan satu bentuk kemahiran kognitif yang bukan sahaja penting dalam perkembangan seni kanak-kanak tersebut malah penting dalam perkembangan pemikiran dan intelektualiti kanak-kanak tersebut. Perkembangan artistik kanak-kanak ini dapat dilihat daripada peringkat contengan kepada perwakilan yang sebenar. Walaupun pada keseluruhannya perkembangan estetik kanak-kanak ini masih belum dapat dikenal pasti, namun para pengkaji menemui beberapa pergerakan yang menjadi refleksi kepada perkembangan estetik kanak-kanak. 2.0 Teori Perkembangan Artistik Kanak-kanak. Berdasarkan Teori Perkembangan Artistik Al Hurwitz dan Michael Day (1995) serta Viktor Lowenfeld (1947), perkembangan artistik kanak-kanak boleh dikesan melalui lukisan figura yang mereka hasilkan. Tokoh-tokoh ini menjelaskan bahawa tahap-tahap perkembangan artistik kanak-kanak ini secara umumnya berbeza tetapi mempunyai corak perkembangan yang lebih kurang sama . Persaman yang dapat dilihat ialah bermula dengan peringkat contengan (scribbling). 2.1 Teori Perkembangan Artistik Al Hurwitz dan Michael Day (1995) Rajah: Teori Perkembangan Artistik Kanak-kanak. Al Hurwitz dan Michael Day Berdasarkan perkembangan artistik Al Hurwitz dan Michael Day (1995), mereka membahagikan perkembangan artisitik ini kepada tiga peringkat yang utama . Peringkat-peringkat itu dikenali sebagai peringkat manipulatif, peringkat membuat simbol dan peringkat pra remaja. Menurut Hurwitz dan Day (2001): “Stage of artistic development useful norms that can enlighten the teacher, but they should not be considered as goals for education.” i) Peringkat manipulatif dan zaman awal kanak-kanak. (2-4 tahun ) Pergerakan tangan kanak-kanak adalah terbatas. Kanak-kanak pada peringkat umur 2 hingga 4 tahun ini didapati kurang mempunyai kawalan dalam pergerakan tangan mereka. Oleh itu, kebanyakan lukisan yang dihasilkan oleh kanak-kanak dalam lingkungan usia ini tidak terkawal bahkan mereka lebih gemar menconteng dinding, di atas meja dan kertas lukisan dengan menggunakan pelbagai medium seperti krayon dan pensel.Lukisan yang dihasilkan oleh kanak-kanak ini tidak bersifat realistik dan mereka sering menggunakan lukisan garisan bagi menggambarkan sesuatu imej. Pada peringkat ini kanak-kanak lebih gemar untuk mencuba sesuatu dan bereksperimentasi dengan pelbagai jenis garisan yang boleh dihasilkan melalui pelbagai media. Berdasarkan peringkat contengan pada peringkat manipulatif ini pula terdapat empat peringkat iaitu : Rajah : Contengan pada peringkat manipulatif Rajah: Contoh Lukisan Kanak-kanak Pada Peringkat Contengan Garisan Tidak Terkawal, Contengan Garisan Terkawal, Rupa Tidak Terkawal dan Rupa Terkawal. (Sumber:Malchiodi 1998) Petunjuk A . Garisan Tidak Terkawal B. Garisan Terkawal C . Rupa Tidak Terkawal D. Rupa terkawal A) Contengan garisan tidak terkawal. Contengan garisan tidak terkawal ini berlaku disebabkan kanak-kanak tidak mempunyai daya kawalan dan garisan yang dihasilkan sering berulang-ulang. B) Contengan garisan terkawal. Di peringkat contengan garisan terkawal pula, garisan yang dihasilkan kebanyakkannya lebih menampakkan kawalan yang lebih matang jika dibuat perbandingan dengan peringkat yang pertama. C) Contengan rupa tidak terkawal. Contengan rupatidak terkawal merujuk kepada kebolehan kanak-kanak yang mula untuk melukis rupa dan mengulanginya mengikut kehendak mereka. Kanak-kanak pada peringkat ini telah mula menyedari hubungan contengan dengan sesuatu objek. Kanak-kanak ini sudah boleh menamakan bahagian-bahagian pada lukisan yang mereka lukis walaupun imej yang dilukis tidak jelas. D) Contengan rupa terkawal Contengan rupa merupakan peringkat di mana kanak-kanak mampu mengenal pasti dan menyebut rupa yang dihasilkan. Lukisan yang dihasilkan pada peringkat ini juga adalah lebih merupakan kepada kepuasan dan keseronokan kerana pada peringkat ini mereka diberikan peluang untuk melukis dan menggunakan alatan melukis seperti pen dan pensel.Selain itu, lukisan yang dihasilkan sudah mula menggambarkan perasaan. Imej yang menampakkan imaginasi dan objek yang dilukis mula berbentuk dan menggambarkan apa yang mereka tahu. Kanak-kanak perlu dibimbing dan diajar cara memegang alatan untuk melukis kerana pada usia begini mereka memegang mengikut keupayaan dan gaya yang mereka sukai. Oleh itu, keupayaan menconteng adalah bergantung kepada keupayaan otot dan keselarasan koordinasi di antara mata dan tangan. Jadi fokus imej yang terhasil pada peringkat usia ini adalah terdiri daripada lukisan pelbagai garisan . ii) Peringkat membuat simbol (6-9 tahun) Ketika usia kanak-kanak ini meningkat ke 6 hingga 9 tahun , mereka akan beralih ke peringkat menghasilkan simbol. Pada masa ini mereka begitu terpengaruh dengan keadaan sekeliling mereka. Lukisan yang sering dihasilkan seperti rumah, kereta, bunga, alat permainan dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa persekitaran memang memainkan pengaruh besar dalam penghasilan lukisan kanak-kanak ini. Imejan dalam lukisan figura merupakan imej yang paling dominan. Simbol dan imejan yang dilukis oleh kanak-kanak ini kebiasaannya didahului dengan imej mereka sendiri, dan diikuti dengan gambar ahli keluarga mereka seperti ibu bapa, adik- beradik dan diikuti dengan rakan-rakan.Pada peringkat usia ini kanak-kanak telah mempunyai kawalan yang seimbang dan teratur dari segi pergerakan tangan.Selain itu, imej-imej yang dihasilkan terdiri daripada pelbagai saiz. Kebiasaannya pada peringkat umur 6-9 tahun ini mereka akan melukis gambar seseorang yang penting dalam hidup mereka dengan saiz yang lebih besar jika dibandingkan dengan figura yang lain. Jika kanak-kanak ini melukis gambar bapa lebih besar daripada ahli keluarga yang lain, maka ini bermaksud bapa itu melambangkan kekuasaan dan kekuatan yang dimiliki oleh bapa selaku ketua dalam keluarga. Kadang-kala didapati imej mereka juga dilukis lebih besar berbanding dengan figura yang lain. Melalui peringkat pertama simbolisma ini, penggunaan warna dalam kalangan kanak-kanak terhadap imej kurang penting dan tidak begitu ketara. Peringkat kedua simbolisma didapati kanak-kanak dalam usia ini telah mula mengambil tahu berkaitan warna. Mereka telah pandai mengaitkan warna imej yang dilukis dengan perkara yang sebenar. Contohnya, imej langit dikaitkan dengan warna biru hijau untuk rumput dan sebagainya. Akhir sekali pada peringkat ketiga simbolisma ini, lukisan yang dilukis lebih memberikan perhatian kepada imej yang konkrit iaitu imej yaqng dilihat berbanding dengan imej yang mereka tahu. c) Peringkat pra remaja (10-13 tahun) Peringkat umur 10 hingga 13 tahun merupakan peringkat transisi zaman kanak-kanak ke zaman remaja.Pada peringkat pra remaja ini kanak-kanak sudah mula melukis figura dalam saiz yang sebenar. Mereka telah mula menitik beratkan saiz dalam lukisan yang dihasilkan. Pada peringkat ini lukisan yang dihasilkan dikatakan lebih rasional kerana bukan sahaja kedudukan dan saiz figura yang betul , malah mereka juga telah mula mengambil berat tentang warna yang bersesuaian dengan imej yang dilukis. Selain itu, mereka juga telah memasukkan bayang-bayang pada objek yang dilukis supaya imej objek tersebut seolah-olah nampak realistik. Pada peringkat ini juga mereka telah mula menggunakan kaedah perspektif bagi membezakan saiz imej . Ini bermaksud mereka telah mula cuba untuk memahami konsep ruang iaitu objek yang jauh bersaiz lebih kecil berbanding dengan objek yang lebih dekat bersaiz lebih besar. 2.2 Teori Perkembangan Artistik Viktor Lowenfeld Viktor Lowenfeld merupakan seorang professor dalam bidang pendidikan seni di Universiti Pennsylvania Macmillan. Beliau menyatakan bahawa sejak kecil lagi proses pembelajaran kanak-kanak ini kebanyakannya dibantu dengan penggunaan alat sensori seperti peta, gambar-gambar dan peralatan sains. Bagi beliau pemikiran abstrak tanpa representasi visual bukanlah sesuatu yang mudah untuk diatasi.Kanak-kanak ini semakin membesar, seni visualnya juga semakin banyak membantu perkembangan minda yang lebih menyeluruh.Menurut Lowenfeld lagi, bidang seni halus, pengetahuan teknik-teknik seni halus serta kemahiran memanipulasi ciri-ciri lukisan dan seni dapat memberi sumbangan dalam meningkatkan kemahiran seni lukis serta imej artistik yang dihasilkan dalam kalangan kanak-kanak.Kanak-kanak lazimnya jarang melukis dengan cara realistik dan tepat dari segi ruang. Kanak-kanak akan melukis berkaitan dengan perkara yang mereka tahu bukan apa yang mereka lihat. Lowenfeld percaya bahawa setiap kanak-kanak ini dilahirkan kreatif. Rajah: Teori Perkembangan Artistik Viktor Lowenfeld a) Peringkat Contengan (Scribbling: 2-4 Tahun) Kanak-kanak pada usia 2-4 tahun ini akan menghasilkan contengan secara rawak dan tidak terkawal. Dalam peringkat ini mereka akan bermula dengan peringkat contengan dan seterusnya kepada lukisan garisan lurus dan melintang kepada melukis bulatan. Pada peringkat ini contengan yang dibuat oleh kanak-kanak ini bukan secara suka-suka dan tanpa sebarang tujuan. Kanak-kanak ini sebenarnya mempamerkan kesedaran tentang corak dan koordinasi tangan-mata. Dalam jangka masa tertentu mereka boleh manamakan apa yang telah mereka lukis sehinggalah umur mereka meningkat kepada umur 3 tahun, kanak-kanak ini akan mula menambah maklumat dengan lebih terperinci . Mereka dapat bercakap tentang lukisan mereka berdasarkan warna , bentuk dan sebagainya. b) Peringkat Pra skematik ( 4-7 Tahun) Pada peringkat ini berlaku peningkatan daripada contengan bulatan kepada percubaan untuk melukis objek yang terdapat di sekeliling mereka dengan menggunakan garisan. Kebanyakan kanak-kanak pada usia sebegini akan melukis gambar bentuk orang dengan melukis satu bulatan kecil untuk kepala, satu bulatan untuk badan dan dua garisan ke bawah untuk kaki. Selain itu kanak-kanak ini akan melukis tanda-tanda kecil untuk mata, hidung dan mulut. Mereka sering melukis imej orang, kerana ia merupakan imej terpenting bagi mereka. Malah kaki dan tangan juga merupakan imej yang penting kerana bagi mereka kaki penting untuk berjalan dan tangan penting untuk mereka makan.Pada peringkat ini lukisan mereka berciri simbolik di mana simbol –simbol tersebut mewakili sesuatu objek. Selain itu, kanak-kanak pada peringkat ini juga telah mula membuat percubaan dengan membahagikan ruang pada kertas lukisan kepada dua bahagian iaitu satah udara dan tanah. Bagi pemandangan satah bawah objek disusun secara melintang dan sama manakala objek udara pula dibiarkan kosong. c) Peringkat Skematik ( 7-9 Tahun ) Pada peringkat usia 7 – 9 tahun kanak-kanak kurang cenderung untuk melukis imej objek berbanding pada peringkat awal. Lukisan yang dihasilkan mula mengikut skema atau konsep tertentu. Perhatian dan penekanan lebih diberikan kepada penyusunan objek dalam imej selain daripada imej manusia dan objek di sekelilingnya. Selain itu, lukisan yang dihasilkan adalah bersifat spontan, bebas dan berskala besar. Lukisan pada tahap ini menunjukkan apa yang difikirkan berbanding dengan apa yang sebenarnya dilihat oleh kanak-kanak. Pada peringkat ini juga penekanan lebih diberikan pada cara penyusunan objek dalam imej selain daripada imej manusia dan objek yang terdapat di sekelilingnya. Pada tahap ini juga lukisan yang dihasilkan melibatkan bentuk lukisan x-ray iaitu lukisan yang mempunyai ciri-ciri luaran dan dalaman sesuatu objek. Oleh itu, pada keseluruhannya peringkat ini kanak-kanak melukis sesuatu yang mereka tahu melalui pengalaman. Sebagai contoh, kanak-kanak pada usia ini jika mereka melukis lukisan sebuah kotak dan mereka juga akan melukis isi di dalam kotak itu. Kanak-kanak ini akan melukis objek yang jauh dengan saiz yang kecil dan objek yang dekat dengan saiz yang lebih besar. Ini menunjukkan permulaan pemahaman konsep perspektif. d) Peringkat Kesedaran Realisma ( 9- 12 tahun) Kanak – kanak pada peringkat ini melukis dengan mengekalkan konsep dan skema tertentu. Imej yang dilukis pada usia ini dilukis secara realistik dan teliti.Imej lukisan yang dilukis mula mengecil dari segi saiz dan kanak-kanak mula menunjukkan sifat kritikan dengan hasil karya sendiri. Pada peringkat ini mereka mula membandingkan karya mereka dengan karya rakan sebaya. Oleh sebab itu, mereka akan melukis dengan lebih berhati-hati dan sedikit individualistik serta menitik beratkan kualiti karya yang dihasilkan. Kanak-kanak pada usia 9 -12 tahun ini lebih cenderung melukis sesuatu objek seperti objek yang sebenar. Mereka akan berasa kecewa sekiranya mereka gagal untuk menyamai ciri-ciri sebenar objek yang mereka lukis. Oleh yang demikian kanak-kanak peringkat ini akan mula hilang minat untuk melukis kerana mereka tidak puas hati dengan lukisan yang mereka hasilkan. e) Peringkat Rasional (12 – 14 Tahun ) Kanak-kanak pada tahap ini didapati mula peka dengan konsep realistik dalam menghasilkan lukisan . Mereka lebih menitik beratkan konsep kedudukan dan saiz rasional imej. Kanak-kanak ini juga kebanyakannnya lebih gemar melukis sesuatu melalui konsep peniruan atau melalui objek di hadapan mata berbanding dengan lukisan menerusi imaginasi. Mereka akan berasa malu dan perasaan rendah diri akan timbul sekiranya lukisan yang dihasilkan tidak menarik. Oleh sebab itu, lukisan yang dihasilkan oleh kanak-kanak ini jarang dikongsi bersama dengan rakan sebaya. f) Period If Decision atau Adolescent Art in High School (14 – 17 Tahun) Peringkat ini lebih kepada peringkat penekanan terhadap proses penghasilan karya seni dan penciptaan objek. Pada peringkat ini, kanak-kanak didapati lebih matang dalam membuat keputusan dan pemilihan bahan yang sesuai untuk menghasilkan karya seni. Secara keseluruhannya, kanak-kanak pada peringkat tadika dan pra sekolah adalah kreatif, ekspresif, dan aktif. Oleh itu, aktiviti pembelajaran yang bercorak perkembangan pemikiran, penerokaan dan ciptaan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. 3.0 Analisa Lukisan Figura Mengikut Perkembangan Artistik Kanak-kanak. i) Lukisan Figura Kanak-kanak 3 Tahun Nur Diyanah Izzati binti Mohd Rashdan ( 3 Tahun ) Kanak-kanak pada peringkat ini akan menghasilkan lukisan contengan secara rawak iaitu tanpa kawalan dan contengan tidak menentu. Perkara ini berlaku kerana kanak-kanak pada usia ini masih tidak mempunyai kawalan pada pergerakan tangan kerana faktor usia mereka yang masih muda. Kebanyakan lukisan – lukisan yang dihasilkan pada usia begini tidak terkawal dan sering terdapat di dinding, di atas meja dan kertas lukisan dengan menggunakan pelbagai jenis bahan dan medium seperti krayon, pensel warna, serta bahan-bahan lain. Pada peringkat ini kanak-kanak lebih gemar untuk bereksperimentasi dengan pelbagai jenis garisan yang boleh dihasilkan melalui pelbagai media.Berdasarkan lukisan adik Nur Diyanah Izzati ini, di dapati gambar figura manusia yang dilukisnya tidak dapat dibayangkan oleh orang dewasa. Namun demikian itulah sebenarnya yang telah berlaku pada kanak-kanak umur 3 tahun. Mereka dapat mengimaginasikan perkara yang dinyatakan tetapi psikomotor mereka masih tidak mampu membantu mereka untuk untuk menghasilkan bentuk-bentuk seperti yang dikehendaki. Berdasarkan lukisan tersebut kaki dan tangan hanya dilukis dalam bentuk garisan bebas begitu juga dengan bentuk mata , hidung dan mulut yang dibuat secara garisan tidak terkawal. ii) Lukisan Figura Kanak-kanak 4 Tahun Muhammad Aikif bin. Ramlan – murid tadika Adik Muhammad Aikif telah melukis gambar figura . Menurut Muhammad Aikif yang kini telah bersekolah di sebuah sekolah tadika , ini adalah gambar adiknya. Jika kita perhatikan terdapat perbezaan bentuk figura manusia antara kanak-kanak berusia 3 tahun dengan 4 tahun. Pada usia 4 tahun kanak-kanak telah dapat melukis gambar manusia dengan rupa bentuk yang boleh difahami terutama oleh orang dewasa yang melihatnya. Merujuk kepada gambar ini bentuk kepala masih lagi tidak dapat dalam bentuk yang sepatutnya kerana mereka masih dalam kategori menghasilkan contengan secara tidak terkawal. Walau bagaimanapun , kanak-kanak ini dapat melukis tangan dan kaki dalam kedudukan yang betul walau hanya sekadar bentuk garisan tetapi tetap masih difahami oleh sesiapa yang melihatnya. Di peringkat ini, kanak-kanak berada dalam peringkat contengan garisan terkawal berbanding dengan kanak-kanak berumur 3 tahun. iii) Lukisan Figura Kanak-kanak 5 Tahun Adriana Rosnaini binti Sharifhuddin – pra sekolah Gambar figura yang dilukis oleh adik Adriana Rosnaini ini menunjukkan gambar ahli keluarganya. Pada peringkat usia sebegini kanak-kanak telah mula untuk melukis objek di sekeliling mereka. Lukisan yang dihasilkan pada peringkat ini juga adalah lebih merupakan kepada kepuasan dan keseronokan kerana pada peringkat ini mereka diberi peluang untuk melukis dan diberikan alatan melukis seperti pen dan pensel. Sebagai contoh mereka akan melukis gambar ibu ayah dan adik - beradik mereka dengan saiz imej yang berbeza-beza serta gambar yang dilukis seolah-olah terapung. Pernyataan ini jelas berlaku dalam lukisan yang telah dibuat oleh adik Adriana Rosnaini. Kanak-kanak ini telah mula melukis figura yang lengkap berpakaian walaupun dalam bentuk garisan lurus. Tetapi di sini kita telah mula mengetahui bahawa kanak-kanak telah mengetahui kepentingan pakaian dalam kehidupan seharian mereka. Setiap gambar yang dilukis itu merupakan salah satu kepentingan bagi kanak-kanak tersebut. vi) Lukisan Figura Kanak-kanak 6 Tahun Qistina binti Majid – pra sekolah Berdasarkan gambar yang dilukis oleh adik Qistina ini pula didapati kanak-kanak ini telah mula melukis bahagian kepala dengan lebih baik jika dibandingkan dengan kanak-kanak 5 tahun. Kanak-kanak ini telah mula melukis rambut pada figura manusia mereka. Ini menunjukkan satu perkembangan artistik kanak-kanak telah berlaku. Terdapat juga penambahbaikan dalam lukisan leher, kaki dan tangan figura jika dibuat perbandingan dengan figura kanak-kanak yang sebelumnya. Lukisan pada kanak-kanak berusia 6 tahun selalunya telah kawalan yang seimbang dan teratur dari segi pergerakan tangan. Oleh itu, kita dapati ganbar yang dilukis oleh adik Qistina ini menampakkan gambaran bahagian kepala dengan rambutnya dan pakaian. Walaupun demikian mereka masih tidak dapat membuat keseimbangan antara bahagian kepala dan badan. v) Lukisan Figura Kanak-kanak 7 Tahun Nur Nazifa binti Mokhtar –tahun 1 Berdasarkan lukisan yang telah dibuat oleh adik Nurnazifa, gambar figuranya tidaklah jauh berbeza dengan gambar figura kanak-kanak 6 tahun. Di sini kita dapati, adik Nur Nazifa tidak melukis bentuk tangan yang lurus tegak seperti kanak-kanak 5 dan 6 tahun tetapi sebaliknya dia melukis tangan lurus ke bawah. Pakaian yang dilukis juga telah ada corak , ini menunjukkan corak pakaian yang dipakai oleh seseorang akan membuatkan mereka kelihatan cantik. vi) Lukisan Figura Kanak-kanak 8 Tahun Nur Izzati Dayana binti Husin – murid tahun 2 Kanak-kanak 8 tahun tertarik untuk melukis gambar manusia dan objek-objek yang menarik perhatian mereka. Jika diperhatikan lukisan adik Izzati ini lebih banyak menggunakan bentuk-bentuk geometri seperti segi tiga, empat segi dan bujur. Namun kebanyakan lukisan pada peringkat ini dihasilkan mengikut skema atau konsep tertentu. Berdasarkan lukisan yang dilukis oleh adik Izzati didapati fokus yang diberi tumpuan ialah pada bahagian kepala. Lukisan yang dihasilkan lebih bersifat hiasan atau dekoratif. Ini menunjukkan bahawa adik Izzati ini sukakan kecantikan dan baginya untuk nampak cantik hiasan di kepala adalah sangat penting. Oleh itu, adik Izzati sangat suka dengan lukisan yang dihasilkan dan suka berkongsi dengan rakan-rakan sebaya yang lain. Pada peringkat ini sebenarnya kanak-kanak telah mula mengaitkan imej yang dilukis dengan warna. vii) Lukisan Figura Kanak-kanak 9 Tahun Nurul Hanisah binti Mahdon – murid tahun 3 Kanak-kanak pada usia 9 tahun juga tidak jauh bezanya dengan kanak-kanak berusia 8 tahun. Didapati lukisan figura yang dilukis oleh adik Nurul Hanisah masih berfokus di bahagian kepala, pakaian dan minatnya terhadap bunga . Adik Nurul Hanisah telah menggambarkan kepada kita bahawa untuk nampak cantik rambut perlu diikat dua dan gunakan pengikat rambut di samping memakai hiasan di kepala. Adik ini juga minat kepada bunga oleh itu, dia telah melukis sekuntum bunga yang dipegang oleh kanak-kanak perempuan itu. Ini menunjukkan adik Nurul Hanisah juga peka dengan objek disekelilingnya seperti bunga dan cekak rambut yang sering dipakai oleh kanak-kanak perempuan sepertinya.Perkara ini berlaku kerana kanak-kanak pada peringkat ini begitu terpengaruh dengan keadaan sekeliling mereka. Ini menunjukkan bahawa persekitaran memang memainkan peranan penting dalam penghasilan lukisan kanak-kanak. viii) Lukisan Figura Kanak-kanak 10 Tahun Nurul Asiah binti Khalid – murid tahun 4 Lukisan ini menggambarkan seorang anak perempuan sedang berjalan bersama ibunya untuk pergi ke sesuatu destinasi. Pada peringkat ini kanak-kanak akan cuba mengekalkan konsep dan skema tertentu. Kanak-kanak ini mula menunjukkan sifat kritikal dengan hasil karya sendiri. Kanak-kanak akan memberi penekanan terhadap imej yang dilukis secara realistik dan teliti. Mereka akan cuba untuk mendapatkan saiz yang sesuai berdasarkan gambar yang hendak dilukis. Lukisan adik Asiah menunjukkan bahawa dia cuba untuk mendapatkan saiz yang sesuai antara figura seorang ibu dengan seorang kanak-kanak perempuan. Perbezaan saiz secara tidak langsung akan memberi pemahaman kepada orang yang melihat lukisannya.Pada peringkat ini mereka akan lebih berhati-hati untuk melukis. viiii) Lukisan Figura Kanak-kanak 11 Tahun Nur Arina Mahira binti Mohd Kamal – Murid tahun 5 Pada peringkat ini lukisan yang dilukis telah menampakkan ciri-ciri perbezaan jantina yang ketara begitu juga dengan pakaian.Gambar ini menunjukkan gambar seorang kanak-kanak perempuan yang memiliki kecantikan dari pelbagai aspek antaranya wajah, pakaian dan gaya. Imej yang dilukis pada usia ini kelihatan lebih seimbang dan dapat diterima oleh orang yang melihatnya. Walaupun demikian kanak-kanak di peringkat ini lebih gemar membanding-bandingkan imej yang dilukis dengan rakan-rakan sekelas dan ini menyebabkan mereka bersikap lebih berhati-hati untuk menghasilkan sesuatu lukisan terutama yang berbentuk figura manusia. x) Lukisan Figura Kanak-kanak 12 Tahun Luqman Hakim bin. Zainal – murid tahun 6 Kanak-kanak pada usia 12 tahun telah mula menginjak ke usia remaja.Pada masa ini mereka telah mula peka dengan konsep kedudukan dan saiz sebenar imej. Mereka mula peka tentang bentuk-bentuk sebenar seperti mana yang mereka lihat. Selain itu pada peringkat usia ini mereka lebih suka kepada konsep peniruan atau melalui objek di hadapan mata berbanding dengan lukisan menerusi imaginasi. Adik Luqman telah melukis gambar seorang lelaki menerusi contoh yang dilihat dalam buku teks Bahasa Melayu miliknya. Di sini memang nyata dan jelas bahawa kanak-kanak di peringkat ini tidak lagi menggunakan daya imaginasi mereka untuk menghasilkan sesuatu lukisan berbanding pada peringkat awal usia. 4.0 Kesimpulan Secara keseluruhannya, kanak-kanak memang gemar melukis dan sebagai guru dan juga orang dewasa kita sepatutnya memahami dan mengetahui mengapa lukisan yang dihasilkan oleh kanak-kanak mempunyai interpretasi serta makna dan maksud yang berbeza dengan karya yang dihasilkan oleh orang dewasa. Lukisan yang dihasilkan oleh kanak-kanak ini merupakan satu cara bagi mengenalpasti proses perkembangan artistik mereka. Melalui cara ini guru mengenal pasti proses perkembangan minda dan kreativiti kanak-kanak ini. Dalam hal ini, secara tidak langsung guru dapat mengatur aktiviti yang boleh menggalakkan perkembangan artistik mereka. Menurut Michael (1983) pengalaman seni akan membantu pelajar dalam pembelajaran dan perkembangan mereka dari peringkat paling asas seperti mengenali seni dan kebudayaan mereka , perasaan konsepsi dan ekspresi diri mereka melalui media. Walaupun kanak-kanak ini lahir dengan sifat kreatif tetapi guru dan ibu bapa perlu memberi rangsangan dan bimbingan kepada murid-muridnya supaya lebih kreatif ketika berkarya. Rujukan : Chang Hon Woon (1994), Teori Seni Tampak, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Pustaka Loy Chee Luen (2011), Perkembangan Seni dan Kraf Kanak-kanak, Gerak Ilmu Sdn. Bhd. Hurwirtz, Al & Day, M. (2001). Children and their art –Methods for the elementary school (7th.ed.) USA : Wardsworth Thomson Learning Iberahim Hassan (2000a) Pendidikan Seni : Matlamat dan Kepentingannya, (Kumpulan Esei Pilihan Seni dan Muzik) Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim. Iberahim Hassan (2000b). Perkembangan Psikologi Kanak-Kanak Berhubung Dengan Pendidikan Seni.(Kumpulan Esei Pilihan Seni dan Muzik). Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim. http://cikguani.blogspot.com/ http://www.scribd.com/doc/22320213/Pengutaraan-Tampak-Kanak-kanak http://www.slideshare.net/syireen/tokoh-lowenfeldhurwitzday http://psvisual.wordpress.com/ http://senivisual1.blogspot.com/p/blog-psv.html http://rmc.upsi.edu.my/v2/ewacana/Asas%20Seni%20Visual.htm http://senivisual2.blogspot.com/2010/03/banyak-buku-buku-rujukan-pendidikan.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan