Halaman

Elegant Rose - Double Heart


Khamis, 4 Julai 2013

EKSPRESI KREATIVITI KANAK-KANAK 1

1.0 Pengenalan Kanak-kanak memiliki sifat kreatif dalam jiwa masing-masing . Kanak-kanak meluahkan perasaan mereka menerusi hasil karya seni mereka. Menghasilkan aktiviti seni secara tidak langsung dapat meningkatkan imaginasi dan kreativiti kanak-kanak serta menimbulkan rasa kecantikan yang berkaitan dengan estetika dalam seni. Seni merujuk kepada sesuatu yang halus. Seni terbahagi kepada dua iaitu seni visual yang merupakan aktiviti melukis, mewarna, aktiviti kraf yang mengaplikasikan teknik menggambar, teknik mereka corak dan rekaan serta teknik bentuk binaan . Manakala seni persembahan pula merujuk kepada aktiviti muzik, pantun, sajak, drama, tarian dan pergerakan kreatif. Untuk melahirkan kanak-kanak yang berpemikiran kreatif ia bergantung kepada pengalaman dan proses pendidikan yang diterima sejak awal lagi.Strategi pengajaran secara kreatif dan kritis adalah idea dan merupakan perkara penting dalam orientasi pengajaran dan pembelajaran kepada kanak-kanak. Pelbagai cara dan teknik pengajaran boleh dilaksanakan agar kanak-kanak ini dapat menjana pemikiran kreatif yang seterusnya akan dapat mengembangkan bakat kanak-kanak tersebut. Salah seorang pakar sains pemikiran iaitu Amabile (1992), menyifatkan institusi sekolah sebagai tempat paling penting untuk memupuk alam kreativiti dalam kalangan kanak-kanak , khususnya dalam konteks prasekolah.Selain itu, guru yang terlatih dan berkemahiran juga diperlukan dalam usaha memupuk dan menyemai strategi pengajaran secara kreatif dan kritis kepada kanak-kanak. Peranan ini juga penting kepada semua ibu bapa kerana pengalaman dan proses pendidikan yang diterima sejak awal usia bukan hanya berlaku di sekolah sahaja malah di rumah juga. Oleh itu, ibu bapa, guru dan orang sekeliling memainkan peranan penting supaya dapat menjana pemikiran kreatif kanak-kanak ini ke arah yang lebih positif kepada diri mereka, keluarga, masyarakat dan agama. 2.0 Definisi Pemikiran Kreatif Pemikiran kreatif merupakan kemahiran berfikir iaitu kebolehan kanak-kanak untuk mencerna, berimaginasi, menghasilkan idea dan mempelbagaikan idea masing-masing. Selain itu pemikiran kreatif dapat meningkatkan inovasi, imaginasi dan kreativiti kanak-kanak melalui aktiviti seni. Mengikut Kamus Dewan ,(2002) pemikiran kreatif merujuk kapada satu kemampuan atau kebolehan mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu idea yang baru dan asli. Kreativiti adalah lebih kepada produk di mana ia adalah satu proses contohnya sebuah lukisan yang menarik, tulisan, cetusan pemikiran, atau respons yang unik, mungkin contoh karya kreatif,tetapi keputusan yang membuat mereka melukis, mewarna,melakar dan berfikir merupakan inti dari proses kreatif. Lowenfeld (1975), percaya bahawa setiap kanak-kanak dilahirkan kreatif berdasarkan sifat semulajadi kanak-kanak yang gemar meneroka, dan penuh dengan perasaan ingin tahu. Pemikiran kreatif kanak-kanak dalam aktiviti seni merupakan satu pemikiran yang berupaya untuk merangsang kanak-kanak menghasilkan sesuatu idea baru serta dapat menyelesaikan masalah yang wujud sepanjang proses aktiviti seni secara kreatif. Md Nasir Iberahim & Hassan , menjelaskan salah satu daripada tanggungjawab guru pendidikan seni adalah memupuk daya kreativiti dalam kalangan murid-murid. Ini jelas menunjukkan bahawa pemikiran kreatif dalam kalangan kanak-kanak bergantung atau dipengaruhi oleh pengalaman dan proses pendidikan yang diterima sejak awal lagi.Melalui aktiviti seni ini ia dapat membantu kanak-kanak berfikir, menghasilkan karya seni yang unik serta dapat mencungkil bakat seni seseorang kanak-kanak.Menurut Poh, 1996 terdapat empat ciri utama pemikiran kreatif: i) Imaginatif - meliputi imaginasi yang mencapah berdasarkan pengalaman dan kemahiran sintesis cantuman idea-idea sedia ada. ii) Keberanian - seseorang yang sanggup menerima risiko dan kritikan serta bertanggungjawab atas keputusan yang dibuat. iii) Perkembangan idea - melibatkan perluasan idea dan mensintesis idea yang ada . iv) Mereka cipta - meliputi penghasilan idea baru dan reka cipta berdasarkan alternatif. 2.1 CIRI-CIRI KREATIF a) Sensitif dan peka – individu yang mempunyai daya sensitiviti yang tinggi terhadap suasana di sekelilingnya seperti gaya hidup, keperluan, persekitaran dan turut sensitif menggunakan deria. b) Bersifat fleksibel – seseorang kanak-kanak yang kreatif berupaya untuk menyesuaikan dirinya dalam pelbagai keadaan dan situasi selain mempunyai keyakinan yang optimis. c) Idea yang asli dan tulen – seseorang yang kreatif selalu memberikan idea yang asli dan tidak diambil daripada lain-lain sumber. Idea mereka unik dan menarik tanpa unsur peniruan. Hasil kerja mereka juga berdasarkan cetusan rasa dan selalunya berbeza daripada biasa. d) Bersifat terbuka – mempunyai sifat keterbukaan di dalam menerima pandangan dan pendapat orang lain mengenai hasil kerja mereka malahan bersifat bebas dan demokratik. e) Berfikiran bebas – golongan kreatif ini mempunyai daya pemikiran yang tidak terkongkong pada satu perkara sahaja sebaliknya mereka bijak merancang aktiviti agar setiap perkara yang dirancang berjalan lancar. Orang kreatif selalunya sangat berhati-hati dan bijak membuat keputusan. f) Logik – orang kreatif akan peka dan sering berfikir secara logik dan rasional serta tahu membezakan baik atau buruk sesuatu perkara itu malah sangat menghargai dan menghormati masa. 3.0 Pemikiran Kreatif Kanak-kanak Bergantung kepada Pengalaman dan Pendidikan Awal. Pemikiran kreatif ini perlu disemai semenjak kanak-kanak lagi. Hasil seni yang dihasilkan oleh kanak-kanak adalah satu kaedah atau cara yang sangat unik untuk diselami selain melihat dan menguji keupayaan kognitif mereka. Hasil karya seni kanak-kanak adalah bersifat peribadi dan tersendiri. Kanak-kanak dilahirkan dengan kebolehan dan keupayaan yang berbeza oleh itu bakat dan kreativiti yang ada perlu diberi galakkan dan bimbingan oleh ibu bapa dan guru agar bakat mereka akan terus berkembang ke arah yang positif. Memang semua manusia dilahirkan kreatif, tetapi jika sifat dan bakat kreatif itu tidak digilap, kreativiti seseorang itu tidak akan terserlah. Pemikiran kreatif ini perlu dipupuk sejak peringkat awal persekolahan lagi untuk membolehkan kanak-kanak ini tahu potensi dan kecenderungan diri serta dapat mencetus potensi tersembunyi dalam diri mereka. Seperti mana yang telah dinyatakan pada peringkat awal kreativiti merujuk kepada dua cabang seni iaitu seni visual dan seni persembahan.Di sini disertakan beberapa contoh aktiviti ynag boleh merangsang pemikiran kreatif kanak-kanak. Kecemerlangan kognitif kanak-kanak bukan sahaja dapat dilihat dalam bentuk hitungan nombor sahaja, malah diperlukan di dalam bidang sastera, budaya dan sosial serta lebih banyak berkaitan dengan kreativiti. Kanak-kanak sangat berminat dengan aktiviti seni dan kreatif. Aktiviti seni dan kreatif memberi peluang kepada kanak-kanak untuk merealisasi imaginasi mereka di dalam pelbagai cara. Ini termasuklah aktiviti seni seperti melukis, mewarna, kraf tangan, muzik, nyanyian, drama, puisi, membentuk arca dan sebagainya. Kanak-kanak sangat gembira apabila terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kreatif dan estetika. Oleh itu, perkara yang paling penting ialah guru harus bersedia dan membuat perancangan yang teliti terutamanya dalam penyediaan bahan yang ingin digunakan untuk sesuatu aktiviti kerana perancangan yang baik akan menjadikan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar. Sebagai mana yang kita sedia maklum bahawa pemikiran kreatif dalam kalangan kanak-kanak wujud secara semulajadi. Walaupun demikian pemikiran kreatif ini perlu diberi sokongan dan diasah bakat mereka supaya dapat melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif pada masa akan datang. Di negara kita, potensi untuk melahirkan manusia yang kreatif dan inovatif ini terpancar dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta pengaplikasiannya dalam pedagogi dan kurikulum mata pelajaran (Abd. Rahim, 1999). Kreatif ialah suatu keadaan di mana seseorang individu atau sekelompok manusia atau sesebuah organisasi mamahami, mengetahui dan mampu mengaplikasikan daya kreativiti dalam usahanya untuk membuat keputusan, menyelesaikan masalah, menerbitkan idea dan menghasilkan sesuatu inovasi baru. Dalam konteks kreatif ini seseorang individu perlu memahami dan mengtahui konsep berfikir secara kreatif, kritis dan inovatif, kepintaran kreatif, tindakan kreatif, faktor-faktor dan elemen-elemen yang merangsang kreativiti, teknik-teknik berfikir kreatif dan penyelesaian masalah secara kreatif. Oleh itu, pemikiran kreatif ini perlu dipupuk dengan pelbagai aktiviti yang boleh merangsang minda kanak-kanak ini. Kanak-kanak harus didedahkan dengan konsep kreativiti. Kanak-kanak harus didedahkan supaya mereka tahu bagaimana untuk berkreativiti dalam pelbagai keadaan dan suasana (Mohd. Azhar, 2003). Untuk melahirkan kanak-kanak dan generasi yang berpemikiran kreatif satu usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak khususnya para pendidik untuk menyebarluaskan pengetahuan dan aplikasi kreativiti dalam pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran.Dengan adanya usaha ini sejak awal lagi, maka ia dapat menyuburkan budaya kreativiti sekaligus membina sebuah masyarakat dan Negara yang rakyatnya mempunyai pemikiran kreatif sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahu melahirkan generasi yang berfikiran kreatif dan inovatif. 3. 1 Kreativiti Dalam Pengajaran Menurut Plucker, Beghetto dan Dow, 2004, matlamat pengajaran adalah untuk membantu pelajar menjadi kreatif. Guru harus memainkan peranan agar kanak-kanak ini dapat dibimbing kea rah pemikiran kreatif pada peringkat individu dan kumpulan. Di sini, guru mahupun pihak sekolah perlu menyediakan persekitaran yang dapat merangsang kreativiti kanak-kanak ini. Semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran berlangsung , guru tidak seharusnya mengawal pelajar sewenang-wenangnya tetapi guru perlu menggalakkan motivasi dalaman ,memupuk rasa kekitaan dan pemikiran yang menjurus kepada aspek-aspek kreatif. Asas Berfikiran Kreatif Bagi pakar psikologi, kreatif ini dinamakna sebagai bakat semula jadi yang dianugerah Tuhan. Justeru itu, dalam konteks pemikiran kreatif ini penting bagi seseorang untuk menguasai asas-asasnya terlebih dahulu. Memang semua manusia dilahirkan kreatif, tetapi jika sifat dan bakat itu tidak digilap, kreativiti seseorang itu tidak terserlah.Oleh itu, kreatif ini perlu dipupuk sejak awal lagi. Kreatif adalah kata nama bagi suatu bentuk pemikiran yang ‘luar biasa’ dan perkataan yang menggambarkan perbuatan dan sifat yang berpunca daripada pemikiran yang kreatif. Menurut Davis (1983) dalam Nik Azis (1994), terdapat empat langkah dalam perkembangan kreatif.Antara lain model itu menghuraikan cara-cara menyusun kandungan pelajaran dan aktiviti bagi mengukuhkan sikap dan kesedaran berkaitan kreativiti, kebolehan dan kemahiran pemikiran kreatif serta teknik pemikiran kreatif. Untuk mengalakkan pemikiran kreatif dalam kalangan kanak-kanak guru boleh mewujudkan situasi yang membolehkan pelajar menyatakan idea-idea kreatif yang terlintas dalam fikiran yang relevan kepada sesuatu isu khusus. Teknik sumbangsaran boleh digunakan untuk mendapatkan pandangan dan pendapat yang bernas tanpa mengkritik idea-idea daripada rakan sebaya dao dalam perbincangan dan pembelajaran itu. Teknik sumbangsaran ini sangat berkesan kepada kebanyakkan kanak-kanak yang diberi tugasan secara individu kerana mereka boleh menjana lebih idea daripada menyiapkan tugasan bersama ahli-ahli kumpulan (Rickards dan deCock, 2003). Salah satu sebab kewujudan situasi ini ialah kerana jika tugasan dijalankan dalam kumpulan sudah pasti terdapat beberapa individu hanya menumpang dalam kumpulan. Mereka sudah pastinya tidak akan terlibat dalam menyumbangkan pemikiran kreatif bagi membuat tugasan yang disarankan oleh guru. Selain itu, aktiviti sumbangsaran dilihat dapat membina semangat berpasukan yang kuat. Strategi kreatif yang baik adalah dengan menghasilkan idea-idea baru. Kekreatifan dapat dihasilkan melalui kewujudan idea –idea yang banyak dan mungkin tidak menggambarkan sesuatu yang unik.namun, dalam kebanyakan idea tersebut pasti dikenal pasti idea-idea kreatif yang baik. Jika diperhatikan kebiasaannya, kanak-kanak kreatif tidak gentar menghadapi sesuatu yang salah. Kanak-kanak ini sentiasa bersedia meneroka sesuatu sehingga penghujungnya untuk menghasilkan idea yang inovatif. Kanak-kanak yang berpemikiran kreatif ini sedar bahawa dalam misi menghasilkan sesuatu tugas pasti ada yang perlu dikorbankan sebelum mencapai sesuatu kejayaan. Golongan kanak-kanak yang kreatif memahami bahawa mereka perlu menghadapi risiko dalam setiap keputusan yang dilakukan. Guru harus menyediakan persekitaran yang dapat membantu melahirkan keinginan secara semulajadi. Guru menyediakan aktiviti-aktiviti dan latihan –latihan yang dapat merangsang pemikiran kreatif kanak-kanak bagi menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapinya. Selain itu, guru perlu menggalakkan pelajar melibatkan diri dalam lawatan-lawatan sambil belajar untuk memberi pendedahan terhadap kreativiti di samping memberi ruang kepada kanak-kanak terbabit melibatkan diri dalam aktiviti yang digemarinya. Jika guru tidak memberikan galakan terhadap kreativiti kanak-kanak, minat mereka untuk melakukannya secara terus – menerus terbantut dan mengalami kegagalan. Guru harus memberi peluang kepada mereka meneroka aktiviti-aktiviti baru sejajar dengan cetusan idea asal kanak-kanak tersebut. Selain itu, guru hendaklah memberi insentif kepada pelajar yang sentiasa bereksperimen terhadap aktiviti-aktiviti yang baru supaya daya kreativiti kanak-kanak dipelihara dan dikekalkan.Guru perlu membina keyakinan pelajar dengan berbincang dan memperbetulkan aktiviti atau sebahagian aktiviti yang telah menemui jalan kebuntuan dan elakkan mengkritik mereka kerana ia pastikan akan membantutkan pemikiran kreatif kanak-kanak ini. Oleh yang demikian, pemikiran kreatif dan daya kreativiti kanak-kanak ini memang sangat bergantung kepada pengalaman dan pendidikan yang diterima sejak awal usia lagi. Justeru, pemikiran kreatif dapat dipupuk dan seterusnya prestasi aktiviti tersebut akan mencapai kejayaan seperti mana yang diharapkan. Guru perlu memberikan galakkan dan motivasi kepada pelajar dengan ganjaran terhadap usaha-usaha dan kreativiti yang ditunjukkan oleh kanak-kanak di bawah asuhan mereka. Ganjaran yang diberikan akan membuat kanak-kanak terbabit berasa keseronokkan secara intrinsik hasil kreativiti yang ditunjukkan melalui aktiviti yang dilakukan. Jika kanak-kanak dipupuk minat terhadap aktiviti, maka kreativiti juga akan terserlah. Ini kerana golongan ini sedar bahawa guru sentiasa memberi motivasi ekstrinsik untuk mereka membina motivasi instrinsik untuk menghasilkan kerja yang penuh kreativiti.Perkara yang paling utama ialah kanak-kanak yang kreatif sentiasa berusaha ke arah menghasilkan sesuatu yang terbaik. Keadaan ini menyediakan peluang kepada mereka untuk mengembangkan lagi potensi pemikiran atau penglahiran idea-idea yang dinamik. Frank Cizek menyatakan bahawa terdapat daya kreatif yang hebat dalam diri kanak-kanak yang memerlukan jalan keluar untuk menyatakan ekspresi diri .Oleh itu, kanak- kanak seharusnya diberi ruang dan peluang untuk melukis tentang apa yang mereka mahu , tentang apa yang mereka lihat dari kaca mata mereka sendiri , bukan melukis tentang apa yang orang lain fikirkan. Berdasarkan teori perkembangan Torrance, persekitaran turut mempunyai kesan kepada perkembangan seni kanak-kanak .Persekitaran dapat membantu membangun pemikiran kreativiti kanak-kanak.Seni dan muzik merupakan contoh umum dari kreativiti. Pemikiran kreatif wujud di hampir semua aspek kehidupan dan persekitaran yang juga melibatkan masyarakat,tempat tinggal dan budaya. E. Paul Torrance telah mencipta dan membangunkan teori kreativiti yang membantu menjelaskan tujuh perkara utama di dalam proses penjanaan kreativiti seseorang individu.Ia boleh digunakan oleh seorang guru –guru dan ibu bapa dalam proses memupuk dan mengembangkan kreativiti para pelajar. a) Penyoalan Persekitaran fizikal yang direka untuk menjana minda dapat meningkatkan penyelesaian masalah secara kreatif. Contohnya, ketika ditunjukkan sebuah benda berbentuk bulan-setengah dan bertanya, "Apakah yang boleh kita buat dengan bentuk ini?" Kanak-kanak akan mula berfikir dan mengembangkan idea-idea dari apa yang mereka lihat di persekitaran mereka. Melihat sekeliling ruangan kelas atau ruang bermain merupakan salah satu kaedah penyelesaian masalah kreatif. Persekitaran yang mempunyai pelbagai perkara baru akan membantu kreativiti.Contohnya guru menunjukkan tanah liat atau plastesin dan guru mengemukakan soalan.Apakah yang boleh dibuat dengan tanah liat atau palstesin ini? Rangsangan melalui proses penyoalan akan menggalakkan daya fikir mereka dan dengan bantuan contoh - contoh relevan akan dapat mewujudkan idea-idea baru . b) Penemuan - penemuan di sini bermaksud memberikan galakkan dan rangsangan kepada kanak-kanak bagi menggalakkan penemuan-penemuan terbaru. c) Pemerhatian - pemerhatian membawa maksud membuat pemerhatian dengan menggunakan pancaindera. d) Percubaan – membuat eksperimen dan berusaha berterusan bagi mendapatkan hasil yang terbaik. e) Penerokaan – memberi galakkan untuk mengeksplorasi pelbagai bahan yang terdapat di sekeliling kanak-kanak. f) Memanipulasi – iaitu menggunakan bahan atau situasi sedia ada untuk menghasilkan sesuatu. g) Aktiviti – mencungkil bakat kreativiti kanak-kanak melalui aktiviti bermain. 4.0 Aktiviti yang boleh merangsang pemikiran kreatif kanak-kanak melalui seni visual. 4.1 Menyusun Puzzle Gambar Rajah 1: Puzzle Gambar Permainan ini merupakan salah satu dalam kategori seni visual. Permainan ini memerlukan kanak-kanak yang terlibat menyusun serpihan-serpihan kecil kepingan gambar yang diberi untuk menjadi sebuah gambar yang lengkap. Permainan ini memerlukan penelitian disamping dapat melatih kanak-kanak ini berfikir , fokus atau memberi sepenuh perhatian kepada permainan ini sehinggalah serpihan-serpihan gambar ini dapat dicantum sehingga selesai sehingga membentuk seperti mana gambar yang dikehendaki. Untuk mencantumkan kepingan-kepingan puzzle berkenaan ia memerlukan ketelitian di mana ia dapat melatih kanak-kanak memegang dan mengambil sesuatu dengan cara yang betul dan seterusnya dapat memasang kepingan-kepingan puzzle tersebut menjadi gambar yang lengkap.Melalui permainan ini juga kanak-kanak secara tidak langsung dapat memahami konsep bentuk , warna, ukuran dan jumlah . Untuk melahirkan kanak-kanak yang berfikiran kreatif ini maka puzzle yang diberikan seharusnya berbentuk lebih kompleks . Kompleks di sini bermaksud jenis gambar yang perlu dihasilkan lebih sukar supaya mereka dapat berimaginasi dengan lebih tinggi dalam menyelesaikan permainan tersebut. Melalui cara ini ia dapat mengembangkan keupayaan kognitif kanak-kanak tersebut apabila mereka menggunakan otak bagi merancang dan menganalisis bagaimanakah bentuk sebenar gambar dalam permainan puzzle tersebut. Oleh itu , secara keseluruhannya permainan ini dapat meningkatkan keupayaan daya imaginasi dan ingatan kanak-kanak bagi melengkapkan gambar puzzle yang diberi. 4.2 Aktiviti Membina Istana Pasir. Rajah 2: Istana Pasir Pelbagai aktiviti luar boleh dijalankan bagi meransang pemikiran kanak-kanak. Antaranya ialah membina istana pasir . Aktiviti ini juga merupakan salah satu aktiviti seni visual. Seperti yang semua maklum istana pasir merujuk kepada satu seni binaan dengan menggunakan pasir yang seolah-olah berbentuk sebuah bangunan istana. Ini bermakna kanak-kanak ini perlu melakukan aktiviti luar seperti di pantai. Namun demikian aktiviti ini tidak semestinya dijalankan di pantai tetapi juga boleh dijalankan di kawasan permainan sekitar sekolah. Pihak sekolah perlu menyediakan pasir yang bersesuaian bagi aktiviti ini. Jika aktiviti ini dijalankan di tepi pantai ia pasti akan menarik minat kanak-kanak malah kanak-kanak ini juga berpeluang meluaskan pandangan mereka terhadap kawasan persekitaran mereka . Untuk membina istana pasir ini,kanak-kanak tersebut perlu mempunyai penyodok, cawan plastik, pelbagai bentuk acuan dan juga botol kosong. Peralatan yang disediakan ini akan membantu kanak-kanak ini untuk membentuk istana pasir. Mereka akan menggunakan pemikiran kreatif mereka untuk mereka cipta dan membina serta membentuk pelbagai bentuk yang bersesuaian dengan istana pasir. Kanak-kanak akan berasa gembira ketika menjalankan aktiviti ini walaupun pada dasarnya aktiviti ini akan membuatkan anggota badan dan pakaian mereka menjadi kotor. Melalui pembinaan istana pasir ini ia dikatakan boleh meransang pemikiran kreatif kanak-kanak kerana ia memerlukan daya pemikiran yang tinggi dalam proses menyiapkannya. Sebagai contoh , kanak-kanak ini perlu berfikir bagaimana cara untuk membina istana pasir yang kukuh berdasarkan peralatan yang terhad. Begitu juga mereka perlu berfikir cara untuk mereka bentuk istana pasir tersebut supaya bukan sahaja kukuh malah kelihatan cantik dan menarik. Selain itu, aktiviti ini juga dapat memperkembangkan lagi daya imaginasi mereka kerana mereka akan membayangkan pelbagai perkara yang berkaitan dengan pembinaan istana pasir sama ada sebelum mahupun semasa aktiviti ini dijalankan. Oleh itu, jelaslah bahawa aktiviti membina istana pasir ini dapat meransang pemikiran kreatif kanak-kanak. 4.3 Permainan Lego Rajah 3 : Permainan Lego Permainan ini memerlukan kanak-kanak menyusun kepingan – kepingan bongkah-bongkah yang dipisahkan menjadi satu model yang lengkap. Permainan ini boleh didapati di kebanyakan taska,tadika dan di kelas-kelas pra sekolah. Permainan ini amat bersesuaian dengan peringkat usia kanak-kanak ini. Lego yang siap dan lengkap mempunyai pelbagai bentuk seperti bentuk kapal terbang, kereta api, bangunan dan sebagainya. Permainan ini begitu mengasyikkan di samping dapat meningkatkan kreativiti kerana aktiviti menyusun dan mencantumkan bongkah-bongkah atau kepingan lego ini memerlukan imaginasi dan daya pemikiran. Kanak-kanak yang berumur tiga hingga empat tahun digalakkan menggunakan lego berbentuk bongkah. Bagi kanak-kanak ini, aktiviti tersebut boleh merangsang mereka dari segi keupayaan berfikir serta secara tidak langsung dapat memperkembangkan lagi kemahiran psikomotor mereka. Permainan ini sangat menarik dan mengasyikkan kerana kanak-kanak mempunyai kuasa ingin tahu dan imaginasi yang tinggi , kuat meneroka dan sudah mula pandai untuk memanipulasikan sesuatu benda yang menarik perhatian mereka.Untuk menyiapkan sesuatu model lego, kanak-kanak perlu menggunakan daya pemikiran dan imaginasi yang tinggi. Selain itu kanak-kanak ini juga perlu menggunakan keupayaan kognitif mereka untuk menyiapkan sesuatu model lego yang lengkap. Mereka juga akan cuba sedaya upaya sekiranya kepingan yang dicantum atau bongkah yang dibina tidak menjadi seperti yang dikehendaki. Kesimpulannya, aktiviti permainan lego ini boleh merangsang pemikiran kreatif kanak-kanak di samping dapat mencipta daya kreatif mereka sendiri dan juga dapat memperkembangkan kemahiran kognitif mereka. 4.4 Permainan Catur Rajah 4: Catur Permainan ini sangat popular dan terkenal di seluruh dunia. Permainan catur merupakan suatu permainan perang yang abstrak kerana permainan ini juga dikenali sebagai permainan seni mempertahankan diri. Melalui permainan ini kanak-kanak perlu menggunakan minda untuk menyelesaikannya. Selain itu, permainan catur ini juga dapat meningkatkan keupayaan minda kanak-kanak dalam menyelesaikan masalah yang kompleks , melatih mereka dari segi perkembangan kognitif di mana kanak-kanak ini perlu berfikir bagi merancang strategi semasa bermain permainan ini. Ini secara tidak langsung akan dapat meningkatkan kemahiran berfikir mereka secara lebih berkesan. Permainan ini dikatakan dapat merangsang pemikiran kreatif kanak-kanak kerana mereka perlu berfikir secara kreatif untuk memerangkap pihak lawan bagi mencapai kemenangan. 3.5 Permainan Kubus Rubiks Rajah 5: Kubus Rubiks Permainan kubus rubik s ini telah diperkenalkan oleh Profesor Erno Rubik iaitu seorang professor seni bina di Hungarian pada tahun 1974. Kubus ini diperbuat daripada plastik dan mempunyai pelbagai versi. Versi yang mempunyai 27 unit kiub dan sembilan buah segi empat sama pada setiap sisi untuk memberikan 54 buah segi empat sama pada keseluruhannya kepada enam sisinya dikenali dengan istilah kiub rubik. Pada kebiasaannnya kiub rubik dilitupi oleh pelekat dalam enam warna tunggal dengan satu warna tunggal pada setip sisi kiub. Setelah aktiviti teka – teki selesai , setiap sisi kiub mempunyai satu warna tunggal. Rubik pula dibuat daripada plastik yang terdiri daripada kubus kecil dan bentunya seperti sebuah piramid. Setiap sisi rubik mempunyai 9 permukaan di mana ia terdiri daripada 6 jenis warna yang berbeza iaitu warna putih, merah, jingga, hijau dan kuning. Permainan ini memerlukan daya kreativiti dan kognitif yang tinggi supaya dapat disiapkan dalam masa yang telah ditetapkan. Oleh yang demikian, terbuktilah bahawa permainan ini dapat merangsang pemikiran kreatif kanak – kanak. Maka dengan itu jelaslah bahawa pemikiran kreatif dalam kalangan kanak-kanak bergantung kepada pengalaman dan pendidikan awal yang diterima sejak awal usia. 3.6 Melukis dan Menggambar Rajah 6 : Melukis dan Menggambar Menurut Narimah dan Nani Menon dalam Rohani dan Mohd Sharani (2003) penglibatan dalam aktiviti seni dan kreatif dilihat sebagai sesuatu yang sangat penting dalam perkembangan pembelajaran kanak -kanak. Aktiviti seni dan kreatif ini dapat memberi peluang kepada kanak-kanak untuk merealisasikan imaginasi mereka di dalam pelbagai bentuk dan cara.Perkembangan kanak-kanak melalui penerokaan boleh dibantu menerusi aktiviti seni. Contohnya, aktiviti melukis atau mengambar dapat memberi pengalaman kepada kanak-kanak dalam memilih bahan, warna, garisan, saiz dan bentuk. Kanak-kanak ini boleh memilih bahan –bahan yan disukai dan mengeluarkan idea. Mereka akan melukis mengikut imaginasi dan kekreatifan mereka. Mereka akan menggunakan pemikiran kreatif mereka untuk menghasilkan lukisan yang menarik dan menepati tajuk atau tema yang diberi. 3.7 Aktiviti Kraftangan Rajah 7: Kraftangan Selain melukis, kemahiran membuat aktiviti seni dan kraf juga dapat meningkatkan pemikiran kreatif kanak-kanak. Ini dapat dilihat apabila kanak-kanak diberi kebebasan untuk mencipta atau membentuk kraf yang diperbuat daripada surat khabar lama dalam pelbagai bentuk yang cantik dan menarik. Di samping perlu menjana idea kreatif mereka , kanak-kanak ini juga secara tidak langsung terlibat dengan kemahiran motor halus dan motor kasar di mana menerusi aktiviti seni dan kraf ini misalnya, aktiviti menggunting dalam aktiviti membuat kraf menggunakan surat khabar lama atau membuat kolaj untuk membentuk gambar. Selain itu,aktiviti mewarna gambar seperti ketika menggunakan krayon kanak - kanak belajar membuat kawalan pergerakan jejari mereka. Melalui aktiviti kreatif dan estetika kanak -kanak dapat menyampaikan kegembiraan, kesedihan dan kekecewaan dalam kata yang lebih mudah aktiviti estetika dan kreatif membantu kanak -kanak untuk menyampaikan emosi dan perasaan mereka. 5.0 Aktiviti yang boleh merangsang pemikiran kreatif kanak-kanak melalui seni persembahan. 5.1 Aktiviti Permainan ‘Puppet’ Rajah 8: Puppet Secara semulajadinya, seseorang kanak-kanak amat meminati sesuatu yang berbentuk animasi dan khayalan seperti kartun dan alat permainan yang mewakili setiap perkara yang mereka kagumi.Dalam persembahan puppet ini, setiap kanak-kanak akan diberikan peluang untuk mengaplikasikan khayalan dan juga animasi yang mereka fikirkan. Berdasarkan watak-watak yang dipertanggungjawabkan , mereka akan memakai kostom yang sesuai dengan watak – watak yang akan dilakonkan. Contoh yang paling hampir dengan kanak-kanak pada masa kini ialah rancangan yang amat diminati oleh mereka iaitu ‘wonder pet’ boleh diserapkan menjadi satu aktiviti persembahan puppet yang menarik. Aktiviti – aktiviti ini boleh dilakukan di sekolah dengan melibatkan sekumpulan kanak-kanak. Pembawakan watak pula akan ditentukan oleh guru melalui sistem undian bagi menjamin kepuasan hati setiap kanak-kanak. Melalui aktiviti ini kanak-kanak dapat diberi pendedahan cara bekerja dalam satu pasukan bagi menjayakan sesebuah persembahan. Dengan membawa peranan masing-masing kanak-kanak secara tidak langsung dapat memperkembangkan daya imaginasi serta kreativiti mereka dalam menjayakan watak masing-masing. Aktiviti persembahan puppet ini juga mendedahkan kepada kanak-kanak ini semangat bekerjasama dan berpasukan dalam dalam menghasilkan sesuatu persembahan yang menarik. Melalui aktiviti ini juga, para guru secara tidak langsung dapat menerangkan dengan jelas nilai-nilai yang terkandung dalam cerita yang dipersembahkan . Dalam rancangan ‘Wonder pet’ contohnya, kita dapat lihat nilai yang diberi keutamaan ialah semangat tolong-menolong dan baik hati. Oleh itu, bagi kanak-kanak yang terlibat secara langsung dalam persembahan ini mereka akan lebih menjiwai watak yang dibawa di samping menjamin kefahaman terhadap setiap mesej atau pengajaran yang hendak disampaikan kerana mereka terlibat sama dalam melakonkan watak-watak tersebut. Kesimpulan yang dapat dibuat, ialah melalui persembahan puppet ini juga ia secara tidak langsung dapat mencungkil bakat serta daya pemikiran kreatif dalam kalangan murid-murid ini. Perkara ini disebabkan seseorang kanak-kanak perlu berfikiran kreatif dalam membawa watak mereka kerana sekiranya mereka terlupa skrip atau dialog yang sepatutnya mereka akan menggunakan pemikiran kreatif mereka untuk mencipta dialog baru bagi memastikan persembahan itu berjalan lancar. 5.2 Drama Rajah 9: Drama Menurut Emile Jaques Dalcroze, “pergerakan merupakan salah satu cara untuk mengungkap perasaan melalui muzik”. Beliau dapati bahawa walaupun kadang-kala kanak-kanak tidak boleh bertepuk dan menyanyi mengikut rentak, namun mereka boleh berjalan atau berlari mengikut rentak. Dalcroze menyatakan bahawa apa yang telah dinyatakan itu sebagai perkara yang benar. Ini jelas dapat dilihat melalui pertunjukan pergerakan kreatif yang dipersembahkan. Melalui aktiviti ini kanak-kanak akan mula memberi tindak balas positif apabila mereka mendengar muzik dan melihat pergerakan kreatif yang telah dipersembahkan di hadapan mereka. Contoh aktiviti seperti nenek kebayan atau penjaga hutan yang keluar secara misteri dan kemudiannya menari ketika muzik dimainkan. Kanak-kanak mula menunjukkan respon dengan menari dan menepuk tangan bersama-sama ketika menjadi penonton.Aktiviti menari dengan pelbagai gerakan dan menepuk tangan mengikut irama itu merupakan salah satu perbuatan yang memerlukan kanak-kanak menggunakan pemikiran kreatifmereka Mereka mula merasai keseronokan ketika nenek kebayan menari mengikut rentak muzik yang rancak.Melalui apa yang dilihat di dalam persembahan ini, ia jelas menunjukkan bahawa setiap emosi yang dipamerkan menerusi pergerakan akan membantu kanak-kanak dalam mengekspresikan perasaan mereka di samping mewujudkan pemikiran kreatif dalam kalangan mereka. Berdasarkan aktiviti ini juga kanak-kanak ini mula mengetahui tentang emosi yang wujud dalam diri mereka seperti perasaan gembira, marah, keliru dan sedih. Selain itu, pergerakan kreatif yang telah dipersembahkan telah dapat memberi banyak perangsang dan peluang kepada kanak-kanak di dalam melahirkan dan mengekspresikan emosi mereka kerana melalui emosi yang lahir dari dalam diri kanak-kanak tersebut telah memudahkan guru-guru terutama guru prasekolah untuk mengenal pasti dan seterusnya membimbing setiap perlakuan kanak-kanak tersebut. 5. 3 Muzik Rajah 10: Pergerakkan Ikut Muzik Pergerakan kreatif yang dilakukan dalam muzik dikenali sebagai seni kinestatik. Asas muzik seperti irama dan pic, memang sedia terdapat dalam pertuturan dan pergerakan harian terutama kanak-kanak. Keadaan dan suasana yang sedemikian menjadikan kanak-kanak berasa senang dan memberi respon secara spontan dalam melahirkan ekspresi diri. Kecenderungan serta minat seperti ini apabila dibimbing dan dikendalikan dengan baik, akan dapat memainkan peranan yang efektif dalam proses perkembangan diri kanak-kanak. Penglibatan kanak-kanak secara aktif dalam aktiviti muzik yang tersusun dan terancang akan berupaya menggalakkan perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor murid, di samping memupuk nilai sosialisasi. Dari segi kognitif pula, kanak-kanak ini akan mendapat pengetahuan dan kefahaman konsep muzik yang asas. Bagi murid Tahap 1 khasnya, aktiviti muzik dan pergerakan bukan sahaja membantu pertumbuhan berkaitan dengan kecerdasan kinestetik malahan juga berperanan membantu mereka memahami konsep muzik yang abstrak. Dari aspek sosialisasi, aktiviti menyanyi, bergerak dan bermain alat muzik secara berkumpulan memberi kesempatan murid berkomunikasi dan berinteraksi dengan mengamalkan nilai-nilai murni. Selain itu, terdapat pelbagai bentuk muzik dalam kebudayaan masyarakat negara kita yang harus dikenali murid sebagai warisan bangsa.Pengetahuan dan pengalaman mengenai pelbagai unsur budaya dalam muzik dapat membantu memupuk elemen jati diri dan patriotisme pada diri murid.Untuk merealisasikan potensi kurikulum Pendidikan Muzik KBSR, pelaksanaannya harus mengambil kira dan meneroka pelbagai pendekatan,strategi dan teknik yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran seperti teori Pelbagai Kecerdasan, Kajian Masa Depan, Pembelajaran Masteri, teknik Berfikir Secara Kritis dan Kreatif, dan Kemahiran Belajar. Berdasarkan pernyataan yang telah diberi, secara tidak langsung setiap aktiviti gerakan yang dilakukan berdasarkan muzik ini memerlukan kanak-kanak terbabit menggunakan pemikiran kreatif mereka untuk mencipta gerakan yang bersesuai dengan muzik yang di dengar mahupun yang dimainkan. 5.4 Tarian Rajah 11: Tarian Tarian merupakan pergerakan yang dilakukan melalui gerak tubuh mengikut irama.Jika dilihat secara terperinci golongan kanak-kanak sangat peka kepada muzik. Mereka akan berhenti melakukan sesuatu, sekiranya pada ketika itu mereka mendengar sesuatu alunan muzik.Secara tidak langsung mereka juga akan terlibat sama dalam muzik tersebut dengan melakukan aktiviti pergerakan yang bersesuaian dengan muzik tersebut. Kanak-kanak ini mempunyai naluri terhadap rentak dan irama, penghargaan nilai terhadap pergerakkan berirama dan mempunyai kemampuan kreativiti yang semulajadi. Potensi pergerakkan kanak-kanak boleh dirangsang melalui ritma dan pelbagai bentuk tari. Kanak-kanak mempunyai keinginan untuk bergerak dan sentiasa aktif. Salah satu cara untuk memuaskan keinginan untuk bergerak ialah menerusi tarian. Kanak-kanak dapat menikmati kepuasan melalui gerak-geri yang berentak dan berirama dalam tarian. Aktiviti tarian sangat sesuai untuk pertumbuhan fizikal dan kreativiti kanak-kanak. Seni tari sebagai gerakkan berirama. Seni tari merupakan pengucapan jiwa manusia melalui gerak-geri berirama yang indah. Terdapat pelbagai jenis tarian sama ada tarian asli atau pun tarian yang dipengaruhi oleh unsur-unsur moden. Tarian merupakan salah satu aktiviti yang memerlukan berlakunya gerak tubuh. Melalui gerak tubuh, kanak-kanak mampu untuk mengungkapkan idea-idea, perasaan dan pengalaman penari kepada orang lain. Selain itu tarian juga mengandungi segala gerakkan tubuh badan yang mempunyai unsur-unsur keindahan. Seni tari ini merupakan salah satu aktiviti yang dapat di lihat pada pergerakkan tangan, kaki, badan, mata dan anggota tubuh badan yang lain. Oleh yang demikian, penglibatan kanak-kanak dalam seni tari ini bukan sahaja dapat menarik minat mereka malah ia memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari sesuatu gerakan dan secara tidak langsung dapat menerapkan serta merangsang pemikiran kreatif dalam kalangan mereka. Bagi menghasilkan tarian yang baik pergerakan yang kreatif diperlukan. Oleh itu, sudah pasti berdasarkan pengalaman dan didikan guru di sekolah akan memberi peluang kepada golongan kanak-kanak ini untuk dapat merangsang pemikiran kreatif mereka bagi mencipta gerakan-gerakan baru yang lebih baik . Melalui beberapa persembahan seni yang telah dinyatakan di atas terdapat faedah-faedah yang boleh didapati dan diperolehi dari pergerakan kreatif ini.Pergerakan kreatif dapat mempertajamkan imaginasi dan sensitiviti kanak-kanak. Semasa kanak-kanak melakukan aktiviti pergerakan kreatif, mereka akan secara tidak langsung dapat mempertajamkan imaginasi mereka. Pergerakan kreatif dapat mengurangkan ketegangan emosi. Oleh yang demikian, kanak-kanak ini akan dapat melepaskan perasaan atau emosi mereka dalam pergerakan yang mereka lakukan dalam aktiviti yang dijalankan. Selain itu, pergerakan kreatif juga dapat menolong memberi makna kepada pelbagai aspek iaitu melalui pengalaman dalam mengaplikasikan prinsipnya. Di samping itu juga, pergerakan kreatif menolong membina keyakinan dan kepastian di dalam diri mereka. Terdapat banyak nilai positif yang boleh diterapkan supaya nilai-nilai yang berkaitan boleh diaplikasi dalam kehidupan seharian kanak-kanak ini. Antara nilai yang perlu ditegaskan adalah keyakinan diri dalam melakukan pergerakan, keseronokan dan kepuasan, kebebasan mencurahkan perasaan, idea dan emosi, menghormati orang lain, bekerjasama, kebebasan dan berdikari. 4.0 Penutup Kesimpulan yang dapat dibuat berdasarkan pernyataan pemikiran kreatif dalam kalangan kanak-kanak bergantung kepada pengalaman dan proses pendidikan yang diterima sejak awal usia ada kebenarannya. Seperti mana yang telah dinyatakan bahawa kanak-kanak mempunyai sifat kreatif secara semulajadi.Perkembangan pemikiran kreatif ini bergantung kepada pengetahuan asas dan pengalaman yang dilalui oleh mereka. Walau bagaimanapun perkembangan kreativiti kanak-kanak ini boleh dirangsang melalui lima peringkat iaitu rangsangan, penerokaan, perancangan, aktiviti dan kajian semula. Terdapat pelbagai strategi dan kaedah yang boleh dijalan untuk merangsang pemikiran kreatif kanak-kanak ini. Penghasilan lukisan contohnya dapat memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk meluahkan ekspresi mereka. Selain itu, aktiviti melukis ini juga dapat meningkatkan psikomotor halus pelajar dalam proses menggambar serta pembentukan sikap melalui nilai-nilai murni dapat dilakukan semasa aktiviti ini dijalankan di dalam kelas. Guru memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran kreatif kanak-kanak. Guru perlu menyediakan bahan bantu mengajar yang menarik supaya kanak-kanak ini berminat untuk belajar dan tidak berasa cepat jemu. Secara tidak langsung ini dapat melahirkan kanak-kanak yang berpemikiran kreatif. Untuk melahirkan kanak-kanak yang berpemikiran kreatif dalam seni visual maka guru boleh memberi contoh lukisan yang telah siap sebagai salah satu bahan bantu belajar. Melalui pemerhatian mereka terhadap contoh lukisan yang ditunjukkan maka kanak-kanak ini berpeluang untuk meniru atau mencetus idea mereka sendiri. Gambar contoh yang diberikan hanyalah sekadar rujukan dan melaluinya ia dapat membantu kanak-kanak ini membuat pemilihan teknik yang bersesuaian berdasarkan kekreatifan mereka. Dalam hal ini, guru berperanan sebagai fasilitator bagi memastikan kanak-kanak ini dapat memperkembangkan kreativiti mereka melalui lukisan. Strategi pengajaran secara kreatif dan kritis sangat penting bagi membantu kanak-kanak menjana idea baru dan meneroka sesuatu bidang dengan lebih mendalam. Dengan adanya teknik yang bersesuaian ia sekaligus dapat memupuk idea kreatif kanak-kanak serta mengembangkan bakat yang sedia ada dan sentiasa memikirkan cara yang terbaik untuk mengembangkan bakat dan kebolehan tersebut.Pemikiran kreatif dalam kalangan kanak-kanak merupakan perkara penting dalam menjana ilmu pengetahuan yang baru dan bersifat holistik di mana ia merangkumi semua aspek perkembangan. Dengan itu suasana pembelajaran yang berkesan akan dapat melahirkan pelajar yang sentiasa boleh melibatkan diri dalam pembelajaran aktif iaitu ke arah menganalisis, mengsintesis dan menyelesaikan masalah yang rumit dalam konteks pemikiran kreatif , kritis dan inovatif. Justeru itu, berdasarkan huraian serta contoh-contoh yang telah diberikan di atas maka jelaslah bahawa pemikiran kreatif kanak-kanak ini sebenarnya banyak bergantung kepada pengalaman dan proses pendidikan yang mereka terima sejak awal usia lagi. Rujukan Abdullah Sani, Y. (2003). Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Pahang: PTSPublications &Distributor Sdn. Bhd. Ahmad Zaharuddin Idrus (eds.). (2001).Kecemerlangan Menerusi Kreativiti: Transformasi & Cabaran UTM. Skudai: Penerbit UTM. Buku Sumber Guru Pendidikan Seni Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah .Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.MALAYSIA. Universiti Terbuka Malaysia. (2006 Ee Ah Meng (1992). Pedagogi Satu Pendekatan Bersepadu. Kuala Lumpur.Fajar Bakti Sdn. Bhd. Iberahim Hassan (2000b). Perkembangan Psikologi Kanak-Kanak Berhubung Dengan Pendidikan Seni. (Kumpulan Esei PilihanSeni dan Muzik). Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim. Leonard MS Yong. (1994). Kreativiti: Ke Arah Pembentukan Masyarakat Kreatif . Kuala Lumpur: Arenabuku Sdn. Bhd. Leonard MS Yong & Karen L. Biraimah. (1996).Guru Kreatif: Isu -isu Teoritikal & Aplikasi Praktikal . Kuala Lumpur: Arenabuku Sdn. Bhd. Nor Hashimah Hashim & Yahya Che Lah (2003).Panduan pendidikan prasekolah. siri pendidikan pra sekolah . Kuala Lumpur: Percetakan Cergas (M) Sdn. Bhd. Siri Pendidikan Perguruan KBKK, Kemahiran Berfikir Secara Kritis & Kreatif . Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.(1998),

Tiada ulasan:

Catat Ulasan